SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak berlesen dan menjalankan perniagaan di sekitar pentadbirannya kerana perbuatan peniaga itu menyalahi undang- undang yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA memandang serius perkara ini dan tegas terhadap peniaga degil yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran MBSA dengan mengadakan pemantauan dan rondaan malah turut mengeluarkan saman kepada peniaga di situ.
Katanya, MBSA telah mengeluarkan banyak saman kepada peniaga tanpa lesen di kawasan U10 terutamanya di hadapan pintu keluar masuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pangsapuri Resak, namun mereka tetap berdegil dan masih menjalankan perniagaan di situ.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga terbabit, malah MBSA juga melakukan tindakan statik iaitu menunggu dari petang hingga ke malam untuk memastikan peniaga tidak menjalankan perniagaan mereka di situ. “Penguat kuasa MBSA juga telah mengambil tindakan menyita barangan peniaga tidak berlesen namun mereka tetap menjalankan perniagaan di kawasan itu.
“Penguatkuasaan dibuat bukan sahaja apabila aduan dibuat tetapi melalui pemantauan dan rondaan yang dilakukan penguatkuasaan MBSA,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung tindakan peniaga Gerai Seksyen U10 yang mendakwa MBSA tidak peka terhadap kewujudan peniaga tanpa lesen dan tiada tindakan dibuat pihak PBT itu.
Shahrin berkata, MBSA menyangkal dakwaan itu kerana pelbagai tindakan telah dilakukan terhadap peniaga di kawasan itu dan MBSA juga proaktif dengan mewujudkan kawasan perniagaan kepada 11 peniaga di situ pada 10 Januari lalu.
“Namun peniaga tanpa lesen ini tidak berniaga di kawasan yang disediakan sebaliknya masih meneruskan perniagaan di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Tindakan MBSA mengeluarkan saman terhadap mereka sudah dilakukan kerana menjalankan perniagaan tanpa mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak MBSA,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan terhadap peniaga tanpa lesen itu mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukkan 3.
“MBSA sentiasa memantau secara berterusan kawasan yang mempunyai peniaga tanpa lesen dan operasi secara berkala akan dilakukan bagi memastikan peniaga degil tanpa lesen seperti ini menjalankan perniagaan mengikut undang-undang yang ditetapkan MBSA,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrin berkata, tindakan peniaga tanpa lesen bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menyusahkan orang lain kerana ia akan mengakibatkan kesesakan lalu-lintas di hadapan kawasan perniagaan mereka.
“Sekiranya mereka mempunyai tempat yang sesuai, ajukan kepada pihak MBSA dan berharap mereka dapat berniaga di kawasan yang disediakan,” katanya.
Petikan dari SINAR HARIAN
Petikan dari SINAR HARIAN