SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan kempen 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Kitar Semula) di kawasan Pangsapuri Seksyen 16, Shah Alam dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan di sekitar Shah Alam selain memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti setempat. Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohtar Hani berkata, kebersihan harus diutamakan bagi memastikan penduduk di bandaraya Shah Alam bebas daripada pelbagai penyakit berjangkit yang disebabkan haiwan perosak.“Seperti yang kita tahu haiwan perosak seperti tikus dan lipas membiak di kawasan yang kotor dan tidak dijaga. “Oleh itu, orang ramai perlu meningkatkan aspek kebersihan ini agar penyakit berjangkit daripada haiwan perosak tidak menular,” katanya. Beliau turut menggalakkan orang ramai agar mengitar semula sisa minyak terpakai agar boleh dijadikan barangan berguna selain dapat menjaga kebersihan alam sekitar. ”Pengguna biasanya akan membuang minyak masak terpakai ke dalam singki atau longkang yang akhirnya menyebabkan masalah tersumbat.”Justeru, saya berharap selepas ini minyak masak terpakai dikitar semula ke dalam tong yang disediakan agar masalah tersumbat dapat dikurangkan malah dapat menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya. Menurutnya, usaha mengitar semula minyak masak terpakai juga dapat membantu mengurangkan kos penyelenggaraan membaiki singki dan longkang tersumbat malah memberi sumber kewangan kepada orang ramai. ”Setakat ini usaha mengitar semula minyak terpakai ini telah dikuatkuasakan di semua gerai di bawah seliaan MBSA.”MBSA telah menyediakan sebuah tong khas bagi setiap gerai untuk mengisi minyak masak terpakai dan usaha ini akan diperluaskan lagi di gerai makanan lain,” katanya. Difahamkan Kempen 3K turut disertai agensi pembersihan Alam Flora yang membuka gerai pameran pada program itu.
RECENT TOP 10 POSTS:
Gadoh from Pusat KOMAS on Vimeo.